Perebutan

BEREBUT HARTA PUSAKA

Petikan Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 12 Februari 2003 memaparkan berita:

“Perebutan punca pembahagian tanah pusaka belum dapat diselesaikan yang mana nilainya telah mencecah kepada RM 3 billion”.

Apakah akibatnya apabila waris saling bergaduh?

  • Hak waris tertangguh, mungkin membawa kepada kematian berlapis serta membawa kepada generasi yang ramai.
  • Hak si mati turut tidak dapat dilaksanakan, bermakna si arwah masih menanggung akibat dari harta pusakanya yang masih belum dapat diselesaikan.
  • Mustahil masalah ini akan dapat diselesaikan jika waris terus bergaduh.

Andaikata ayah memiliki 5 orang adik beradik dan mereka saling bertelagah dan bergaduh. Sementara pergaduhan berlarutan, mati beberapa orang waris di peringkat ayah.

  • Contohnya 2 orang meninggal dunia, bermakna adik-beradik ayah tinggal 3 orang. Jumlah yang disangka berkurang ternyata semakin bertambah. Kurang 2, tetapi bertambah menjadi 10 orang kerana setiap waris di peringkat ayah tadi mempunyai 5 orang anak.
  • Jika sebelum ini waris hanya 5 orang, selepas kematian 2 orang tadi ianya telah bertambah menjadi 13 orang (3 orang adik-beradik ayah dan 10 orang anak saudara ayah).

Sekiranya kes tadi masih belum dapat diselesaikan kerana waris terus bergaduh, lalu berlaku lagi kematian, maka akan bertambah lagilah bilangan waris dan bertambahlah pula masalahnya.

Masalah di atas adalah antara sebab mengapa kes-kes berkaitan pembahagian harta pusaka tidak dapat diselesaikan. Apabila harta pusaka tidak dituntut atau proses pembahagian harta pusaka terbantut disebabkan pergaduhan dan sebagainya, maka harta tersebut akan beku. Apabila beku, ini bermakna harta tersebut tidak dapat dimanfaatkan oleh waris dan mungkin akan menjadi penyebab waris jatuh miskin dan papa kedana. Pada masa yang sama, negara tidak beroleh manfaat darinya kerana ekonomi tidak dapat berkembang dengan baik disebabkan banyak harta yang beku. Hal ini bukan sekadar merugikan para waris, bahkan ia juga merugikan negara.

Persoalan yang timbul:

  • Siapakah yang menikmati hasil harta tersebut selagi mana harta pusaka tersebut belum diketahui waris yang sebenarnya?
  • Apabila waris yang berhak telah diketahui, adakah mereka akan memperolehi semula hasil-hasil yang telah dinikmati sebelumnya oleh orang yang tidak berhak?

Cubalah kita mengelakkan perkara-perkara seperti ini dari terus berlaku di kalangan masyarakat kita. Sediakan lah dokumen-dokumen harta perwarisan supaya dapat menjamin waris-waris kita menerima hak mereka yang sepatutnya dengan mudah dan selamat. Wallahualam.

Komen