Gharar


Maksud al-Gharar ialah “ketidakpastian”. Maksud ketidakpastian dalam urus niaga muamalah ialah:

“Terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh sebelah pihak dan boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta penganiayaan kepada pihak yang lain”.

Menurut Ibn Rushd maksud al-Gharar ialah, “Kurangnya maklumat tentang keadaan barang (objek), wujud keraguan pada kewujudkan barang, kuantiti dan maklumat yang lengkap berhubung dengan harga. Ia turut berkait dengan masa untuk diserahkan barang terutamanya ketika wang sudah dibayar tetapi masa untuk diserahkan barang tidak diketahui”.

Ibn Taimiyah pula menyatakan al-Gharar ialah, “Apabila satu pihak mengambil haknya dan satu pihak lagi tidak menerima apa yang sepatutnya dia dapat”.

Al-Gharar ditakrifkan dalam Kitab Qalyubi wa Umairah menyatakan Mazhab Imam Al-Shafie mendefinasikan gharar sebagai “Satu (aqad) yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti”.

Prof Madya Dr. Saiful Azhar Rosly menyatakan, “Gharar yang dimaksudkan dalam perbahasan sah atau tidak sesuatu kontrak itu merujuk kepada risiko dan ketidakpastian yang berpunca daripada perbuatan manipulasi manusia mengakibatkan kemudaratan ke atas pihak yang dizalimi. Umpamanya dalam jual beli kereta terpakai, pembeli tidak diberitahu tentang keadaan sebenar kenderan tersebut. Setelah selesai perjanjian jual beli, gharar dalam objek jual beli itu boleh dijadikan alasan membatalkan kontrak. Ini kerana gharar itu terhasil daripada perbuatan zalim yang disengajakan”.

Kontrak Insurans mengandungi unsur gharar kerana apabila tidak berlaku tuntutan, satu pihak (syarikat insurans) akan mendapat semua keuntungan (premium) sementara satu pihak lagi (peserta) tidak mendapat sebarang keuntungan. Keadaan ini bertepatan dengan definisi gharar oleh Ibn Taimiyah yang menerangkan gharar dalam kontrak berlaku apabila satu pihak mendapat keuntungan sementara sebelah pihak lagi tidak menerimanya.

Menurut laporan Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Secara Islam di Malaysia, adalah jelas di dalam kontrak insurans yang diamalkan sekarang mengandungi elemen gharar kerana Ma’kud Alaih (barang) tidak jelas, dan ia berkait dengan:-

  • Tidak diketahui dengan jelas samada dapat atau tidak bayaran yang dijanjikan.
  • Tidak diketahui kadar bayarannya.
  • Tidak diketahui bila masanya.

Badan Petugas menyatakan kewujudan gharar dalam kontrak insurans kerana Kontrak Insurans adalah di atas “Dasar Jual Beli”. Dalam Islam, jika sesuatu itu terlibat dengan muamalah jual beli maka ia mesti memenuhi rukun dan syarat jual beli. Antara rukunnya ialah:

  1. Penjual dan Pembeli
  2. Aqad (Ijab dan Qabul)
  3. Barang (Ma’kud Alaih/Subject Matter)

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kewujudan ketidakpastian ‘barang’ dalam kontrak insurans kerana syarat barang yang telah ditetapkan oleh Syarak tidak dapat dipenuhi. Bagi Islam, syarat-syarat bagi setiap rukun-rukun tersebut adalah penting dan mesti dipenuhi. Di antara syarat barang yang mesti dipenuhi ialah:

  1. Barang tersebut dapat diserahkan dalam majlis akad.
  2. Masa penyerahannya telah ditetapkan.
  3. Barang tersebut telah ditentukan jenis dan kuantitinya.
  4. Tempat untuk diserahkan barang telah ditentukan.
  5. Bukan barang yang mengandungi unsur-unsur najis dan dilarang Syara’.

Seperti juga dengan pasangan yang ingin berkahwin. Mereka mestilah memenuhi rukun kahwin seperti adanya pengantin lelaki, perempuan, wali, 2 saksi lelaki yang adil dan ijab qabul. Tetapi jika salah satu rukun tersebut tidak dapat dipenuhi maka perkahwinan itu akan menjadi tidak sah. Namun ada pendapat yang menyatakan bahawa ‘barang’ dalam kontrak insurans adalah jelas kerana ia telah tercatat dalam kontrak dan akan diserahkan apabila terjadinya kemalangan. Lebih mengukuhkan lagi hujah tersebut ialah apabila mahkamah sendiri akan mendengar kes seumpama itu.

Kita mengakui pendapat ini dan kerana itulah dinyatakan perbezaan sebenar antara Takaful dan Insurans ialah dari segi “Keyakinan (Belief)”. Cuba kita perhatikan, apakah bezanya pasangan yang berkahwin dengan pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan kecuali melalui kontrak yang dianggap sah oleh undang-undang sivil? Tentu sekali wujud perbezaan walaupun kontrak yang dibuat oleh pasangan tersebut adalah lengkap dengan segala hak antara kedua pasangan telah termaktub dan diditilkan dalam kontraknya, namun bagi Islam ia tetap tidak sah kerana berlawanan dengan Syarak.

Maisir/Judi

Para ulama’ menyatakan Maisir dan Gharar mempunyai kaitan yang amat rapat. Ini bererti jika sesuatu transaksi itu mengandungi unsur gharar maka dengan sendirinya unsur judi turut ada. Kaitan antara keduanya adalah terlalu rapat dan saling berkait.

Maisir (Judi) dalam kontrak insurans wujud bila mana:

  1. Peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya.
  2. Peserta hilang wang premium apabila peristiwa ingin dilindungi (the insured event) tidak berlaku.
  3. Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima.

Komen

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s